Monday, May 5, 2008

aNuGeRaH LaDaNg bAhAGiA



KUALA LUMPUR: Bekas 'Raja Libas Asia', Adnan Saidin dipilih sebagai penerima Anugerah Pekerja Cemerlang bagi Kategori Pekerja Bukan Eksekutif sempena sambutan Hari Pekerja 2008 yang diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, semalam.


Beliau menerima hadiah wang tunai RM5,000, plak penghargaan dan piala yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada perhimpunan yang menghimpunkan lebih 5,000 pekerja daripada 197 organisasi membabitkan sektor awam, badan berkanun, swasta dan institusi pengajian tinggi.


Bekas jaguh sukan sepak takraw negara, Adnan, 51, yang kini menjawat jawatan Juruteknik (Tukang Tingkatan Kanan) di Tenaga Nasional Bhd (TNB) Kedah sudah berkhidmat 29 tahun dengan syarikat utiliti utama negara itu.

"Sudah pasti saya gembira dengan anugerah yang diterima dan berhasrat untuk terus menyumbang yang terbaik kepada TNB.


"Berbaloi juga rasanya mendapat anugerah ini selepas mengorbankan banyak masa untuk terus berbakti kepada sukan sepak takraw negara," katanya yang banyak menerima undangan untuk menjadi jurulatih sukan itu daripada pihak tertentu, tetapi tidak dapat memberikan komitmen kerana terikat dengan tugas di TNB.


Selain Adnan, dua lagi penerima anugerah cemerlang ialah Yong Kah Foh, 31, dari syarikat Nihon Canpack (M) Sdn Bhd bagi Kategori Orang Kurang Upaya (OKU) dan Timbalan Dekan Jaminan Kualiti dan Akademik Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Dr Izham Zainal Abidin bagi Anugerah Pekerja Cemerlang Eksekutif.

Yong berkata, beliau tidak sangka namanya yang dicalonkan oleh Pengurus Sumber Manusia Nihon Canpack, Rosdy Abdullah, dipilih untuk anugerah tahun ini.


Beliau yang mengalami kecacatan tulang belakang sejak kecil, seorang yang menjalin hubungan rapat dengan rakan sekerja normal, dalam urusan hariannya.


"Saya suka berdikari dan kalau boleh tidak mengharapkan bantuan rakan sekerja yang selama ini memberikan kerjasama sangat baik kepada saya," katanya.


Pada majlis sama, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) menerima Anugerah Majikan Prihatin, manakala Tenaga Nasional Berhad (TNB) dianugerahkan Anugerah Majikan Berdaya Saing bagi kategori syarikat besar dan syarikat perladangan Tradewinds Plantations Bhd menerusi Ladang Serasa, Gua Musang menerima Anugerah Ladang Bahagia.


Syarikat Sembilan Resources Management (M) Sdn Bhd yang menjalankan perniagaan dalam pengurusan perhotelan menerima Anugerah Majikan Prihatin bagi Kategori Industri Kecil dan Sederhana dan MM Vitaoils Sdn Bhd menerima Anugerah Majikan Berdaya Saing kategori sama.


Sembilan Resources Management (M) Sdn Bhd pemilik Resort Golden Straits Villas, Port Dickson diwakili Pengarah Urusannya, Musa Jab, manakala MM Vitaoils diwakili Pengarah Urusannya, Mazlan Muhamad.


Musa berkata, beliau mengamalkan sikap prihatin terhadap keperluan pekerja kerana menganggapnya sebagai aset syarikat.


"Saya juga mengamalkan pendekatan perkongsian, malah menyediakan kelas agama untuk pekerja dan warga sekitar hotel. Ia mungkin menyebabkan syarikat kami dipilih menerima anugerah yang pertama kali diperoleh," katanya.


Pengerusi Tradewinds Plantations, Datuk Wira Syed Abdul Jabbar Syed Hassan, berkata selain Ladang Serasa yang dilengkapi kemudahan komuniti setempat, syarikat memberi tumpuan sama dalam menguruskan setiap ladangnya.


Sementara itu, Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Teknik Semenanjung menerima Anugerah Kesatuan Contoh Sektor Awam manakala Kesatuan Pekerja Marine dan Heavy Engineering kategori Swasta.

No comments: